Monday, 24 February 2020

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara



 

Pengenalan

PSPTN ialah singkatan yang digunakan untuk merujuk kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. PSPTN ini adalah dokumen yang menterjemahkan hala tuju pengajian tinggi negara untuk masa hadapan. Pelan ini memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan model intelek berkualiti bagi mendukung dan menjayakan aspirasi negara untuk menjadi maju, makmur dan kompetitif. PSPTN dibentuk berdasarkan Teras 2 dalam rancangan Malaysia ke-9, yang jelas menyatakan bahawa untuk mencapai Wawasan 2020, Negara perlu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelaspertama.

Tujuan pelan ini digubal adalah untuk melahirkan :

  1. Modal insan bagi menyokong Misi Nasional
  2. Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi
  3. Memupuk minda kelas pertama

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara telah disiapkan pada bulan Ogos 2007 dan menggariskan 7 teras utama:

  • Teras 1           :           Meluaskan Akses Dan Meningkatkan Ekuti
  • Teras 2           :           Menambahkan Baik Kualiti Pengajaran Dan Pembelajaran
  • Teras 3           :           Memperteguhkan Penyelidikan Dan Inovasi
  • Teras 4           :           Memperkasakan Institusi Pengajian Tinggi
  • Teras 5           :           Mempergiat Pengantarabangsaan
  • Teras 6           :           Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat
  • Teras 7           :           Mengukuh Sistem Penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi

Fasa Perlaksanaan

Pelaksanaan PSPTN dipantau oleh Pejabat Pengurus Program di KPT, yang bekerjasama dengan Pejabat Pengurusan Program Peringkat Institusi (iPMO) di semua IPTA. PSPTN dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh empat fasa perlaksanaan:

  • Fasa 1            :           2007-2010 (Perletakan Asas)
  • Fasa 2            :           2011-2015 (Peningkatan dan Pemerkasaan)
  • Fasa 3            :           2016-2020 (Kecemerlangan)
  • Fasa 4            :           melangkau 2020 (Kegemilangan dan Kelestarian)

CAP, KPI dan PI

Perlaksaan Projek Agenda Kritikal (CAP) adalah diwujudkan untuk mencapai hasrat PSPTN. Semua IPTA perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif tertentu bagi semua CAP yang telah ditetapkan pelaksanaannya di IPTA. Walau bagaimanapun, sasaran yang telah ditetapkan bagi setiap IPT bergantung rapat dengan beberapa faktor, seperti kematangan universiti tersebut, kemampuan sumber dan intelek, infrastruktur, dan sebagainya.

Terdapat 5 tonggak institusi yang diberi penekanan dalam PSPTN; iaitu Tadbir Urus, Kepemimpinan, Akademia; Pembelajaran dan Pengajaran; dan Penyelidikan dan Pembangunan. Kesemua 5 tonggak ini dijadikan sebagai CAP, yang disokong dan berinteraksi dengan 18 CAP yang lain; menjadikan bilangan CAP (sehingga Jun 2011) sebanyak 23.

Daripada 23 CAP, 12 CAP juga dilaksanakan di UniSZA dan selebihnya tidak dilaksanakan di UniSZA. 12 CAP yang dilaksanakan di UniSZA adalah seperti berikut:

  1. Akademia
  2. Pengantarabangsaan
  3. MyBrain15
  4. Keusahawanan
  5. Penyelidikan dan Pembangunan
  6. Program Pemindahan Ilmu
  7. Industri Akademia
  8. E-Learning
  9. Kebolehpasaran graduan
  10. Pengajaran dan Pembelajaran
  11. Pembangunan Holistik Pelajar
  12. Pembelajaran Sepanjang Hayat
Bagi setiap CAP, terdapat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Petunjuk Prestasi (PI) yang telah ditetapkan. PI adalah indikator yang akan menyumbang kepada KPI. Senarai penuh KPI dan PI bagi setiap CAPs yang terlibat, bagi tahun 2013, boleh di rujuk pada Operasi Definisi CAPs 2013 (sila klik di sini).

| Print | PDF 

Pusat Perancangan Strategik & Pengurusan Kualiti (SPaQM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),
Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman, MALAYSIA.
Tel: 09-668 8901 | Email: spaqm@unisza.edu.my | Faks: 09-6677868