Malaysian Research Assessment (MyRA)
Pengenalan
MyRA® adalah singkatan bagi Malaysian Research Assessment, atau istilah bahasanya Taksiran Penyelidikan Malaysia. Konsepnya adalah sama seperti Research Assessment Exercise (RAE) yang digunapakai di United Kingdom. MyRA® digunakan untuk menilai kapasiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan. MyRA® merupakan instrumen untuk menaksir keupayaan penyelidikan pada peringkat institusi. Ia mengukur kecemerlangan dengan menilai jarak sesebuah IPT dari profil (tanda aras) yang ditakrifkan sebagai cemerlang bagi sebuah universiti penyelidikan di negara kita. Instrumen MyRA® mempunyai tiga unsur utama iaitu:
- Indikator atau kriteria yang menilai IPT;
- Tanda aras setiap indikator;
- Mekasnime penskoran bagi setiap indikator.
eMyRA merupakan sistem on-line yang dibangunkan bagi membolehkan IPTA atau IPTS yang bertaraf universiti dan Kolej Universiti membuat penilaian kendiri terhadap pencapaian penyelidikan (R&D&C) berdasarkan kepada sistem ini terdapat lapan kriteria dan pemarkahan MyRA adalah seperti berikut:
Seksyen | Kriteria | Markah |
---|---|---|
A | Maklumat Am | - |
B | Kuantiti dan Kualiti Penyelidik | 25 |
C | Kuantiti dan Kualiti Penyelidikan | 30 |
D | Kuantiti Pasca Siswazah | 10 |
E | Kualiti Pasca Siswazah | 5 |
F | Inovasi | 10 |
G | Khidmat Profesional dan Hadiah | 7 |
H | Jaringan dan Jangkauan | 8 |
I | Kemudahan Sokongan | 5 |
JUMLAH | 100 |
Pemberat bagi setiap kriteria, dan seterusnya indikator bagi setiap kriteria ditentukan bagi mencerminkan kepentingan dan sumbangan relatif mereka kepada kedudukan penyelidikan IPT berkenaan dari perspektif IPT lain. Tanda Aras (benchmark) setiap indikator ditetapkan pada mulanya dengan menggunakan analisis kes bagi universiti penyelidikan bertaraf dunia. Profil universiti-universiti ditetapkan dan tema sepunya dikenal pasti. Angka-angka tanda aras dikumpulkan dan penentuan tanda aras muktamad bagi universiti penyelidikan Negara ditentukan berdasarkan:
- angka-angka tanda aras yang boleh dicapai dalam jangka masa 5-tahun;
- tanda aras berupaya mendorong ke arah kecemerlangan penyelidikan di IPT Negara.
Instrumen MyRA® akan menilai sejauh mana pencapaian sesebuah IPT tersebut mencapai profil sebagai Universiti Penyelidikan Malaysia yang cemerlang. Oleh itu, skor yang dicapai sesebuah institusi pada setiap indikator mencerminkan jurang atau jarak prestasi IPT dari kadar tanda aras; lebih jauh jurangnya, maka lebih kecil skornya secara berkadaran. Apabila mencapai tanda aras, skor yang diperolehi adalah markah penuh bagi indikator berkenaan. Markah penuh bagi setiap indikator ditentukan dari pemberat dan sub-pemberat yang berkaitan. Dalam kes-kes tertentu, apabila prestasi IPT melebihi atau melangkaui tanda aras, skor boleh melebihi markah penuh yang diperuntukkan. Akan tetapi, keadaan ini hanya dibenarkan bagi kriteria yang diutamakan seperti kuanti dan kualiti penyelidikan. Akan tetapi atas sebab peredaran masa, instrumen MyRA telah ditambah baik dari segi indikator, tanda aras, pemberat dan sub-pemberat. Perubahan ini mencerminkan pemfokusan bidang keutamaan bagi menjamin MyRA® untuk kekal relevan sebagai pendorong penting bagi agenda penyelidikan Negara. Kita telah melihat MyRA® II yang diguna pakai untuk menaksir Universiti Penyelidikan matang yang mana terdapat tumpuan lebih tinggi diberikan kepada output dan impak penyelidikan berbanding input dan proses penyelidikan, bersama dengan indikator yang mencerminkan perubahan ini.
Tujuan
MyRA® diilhamkan berdasarkan konsep yang sejajar dengan perkembangan kepentingan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan penyelidikan dalam pembangunan sosio-ekonomi kebangsaan. Dengan evolusi Negara dari ekonomi berasaskan tani ke Negara industri dan seterusnya mencari kedudukannya dalam ekonomi pengetahuan dan inovasi global, penyelidikan menjadi amat penting untuk menyokong transformasi landskap sosio-ekonomi Negara. Oleh itu, adalah satu keperluan untuk menilai agenda penyelidikan nasional dan agenda Universiti Penyelidikan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Tujuan utama Instrumen MyRA® termasuk (tetapi tidak terhad kepada) yang berikut:
- Untuk menilai prestasi universiti tempatan dalam kegiatan Penyelidikan –Pembangunan - Pengkomersilan (R&D&C);
- Untuk menilai permohonan Skim Geran Penyelidikan Fundamental oleh universiti;
- Untuk menilai permohonan menjadi sebuah Universiti Penyelidikan;
- Menilai impak IPT yang telah diberikan status Universiti Penyelidikan.


Glosari
Glosari MyRA 2014 boleh dirujuk [di sini].